Pages

28 June 2015

6 FAKTA TENTANG G6PD YANG ANDA TIDAK TAHU

Kalau sebut G6PD pasti ramai pernah dengar.. tapi apa itu G6PD?

Biasanya dalam buku rekod bayi akan ada penerangan ini tapi adakah anda baca keterangan tersebut? Seperti saya, tak baca pun bila doktor bagitahu yang anak saya tiada kekurangan G6PD. 

Tapi besar hikmahnya bila berkecimpung dengan Shaklee ni sebab banyak benda yang sebelum ni tak pernah dengar pun tapi kerana teman-teman pengguna Shaklee yang lain ada masalah-masalah itu, maka secara tak langsung saya belajar mengenainya... termasuklah G6PD ni.

(1) APA ITU G6PD?
G6PD iaitu ringkasan kepada Glukosa-6-Fostat Dehidrogenase, merupakan sejenis enzim keturunan yang terdapat di dalam sel darah merah.
Kekurangan enzim ini boleh memusnahkan sel darah merah (hemolisis) apabila terdedah kepada
(1) jangkitan 
(2) ubat tertentu
(3) makanan tertentu

Ia boleh menyebabkan penyakit kuning, terutamanya semasa 3 minggu pertama selepas bayi dilahirkan. Jika penyakit kuning ini teruk, ia boleh menyebabkan kerosakan otak serta kematian.

(2) BAGAIMANA SEORANG IBU TAHU ANAKNYA KEKURANGAN G6PD?
Semua bayi baru lahir akan diperiksa secara rutin untuk mengesan masalah kekurangan enzim ini. Ujian darah boleh dilakukan bagi menentukan samada individu pengidap kekurangan G6PD ataupun tidak.

Kekurangan ini berlaku dalam 2 - 3% sahaja daripada penduduk.

Kekurangan G6PD bukanlah satu kecacatan atau penyakit. Ia adalah satu fenomena keturunan yang melibatkan kedua-dua jantina, lelaki dan perempuan, tetapi lebih sering dialami oleh bayi lelaki. 

Ia secara am ditemui pada mereka yang mana ibubapa mereka berasal dari daerah yang pernah sering mengalami Malaria seperti Asia Tenggara, Afrika dan juga Mediterranean.

Ibubapa tidak perlu risau jika anak mereka mengalami kekurangan G6PD ini kerana pada dasarnya ia tidak berbahaya. 

Komplikasi hanya akan terjadi jika mereka terdedah kepada ubat-ubatan yang boleh menghasilkan proses hemolisis di dalam darah. Oleh itu, adalah penting untuk mengelakkan daripada mengambil ubat atau makanan tertentu yang boleh mencetuskan suatu tindakbalas.

Dari segi yang lain, G6PD boleh menjadikan individu lebih kuat melawan penyakit Malaria.

(3) KOMPLIKASI YANG MUNGKIN DIHADAPI OLEH INDIVIDU KEKURANGAN G6PD
Kebanyakan individu yang kekurangan G6PD biasanya jarang mengalami sebarang gejala atau komplikasi. 

Walau bagaimanapun, pada mereka yang terdedah kepada bahan-bahan tertentu seperti beberapa jenis antibiotik dan ubat anti malaria, sel darah merah akan mudah terpecah dengan lebih awal dari tempoh matangnya yang mengakibatkan mereka mengalami gejala penyakit kekurangan darah (anaemia) seperti pucat, sesak nafas, lemah dan tidak bermaya.

Salah satu masaalah yang dialami oleh individu dengan kekurangan G6PD timbul sebaik sahaja selepas kelahiran. 

Demam kuning pada bayi baru lahir adalah keadaan biasa bagi semua bayi baru lahir, tetapi apabila ia berlanjutann, kekurangan G6PD disyaki. 

Demam kuning baru lahir merupakan kekuningan pada putih mata, kulit, dan selaput hingus disebabkan mendakan garam hempedu pada tisu ini. 

Bagi bayi yang baru lahir, mereka kelihatan kekuningan di seluruh wajah dan tubuh badan. Ini merupakan akibat langsung kekurangan aktiviti enzim G6PD pada hati. 

Dalam sesetengah kes, demam kuning pada bayi baru lahir cukup teruk untuk menyebabkan kematian atau kecacatan neurologi yang kekal (Beutler, 1994).

(4) RAWATAN
Individu kekurangan G6PD biasanya tidak perlu dirawat melainkan dia telah menunjukkan simptom-simptom atau tanda-tanda komplikasi. 

Sekiranya anda adalah pengidap G6PD, anda perlu mengelakkan sebarang perkara yang boleh menyebabkan sel darah merah pecah seperti :
(1) memakan kacang parang
(2) terdedah kepada ubat gegat 
(3) meminum air kosong dengan terlalu banyak melebihi sejag air dalam sesuatu masa dimana anda tidak bersenam, tidak penat, tidak kehausan, dan tidak berasa kering akibat pengambilan kadar gula atau nutrien yang tinggi pada sesuatu masa. 

Anda juga harus memberitahu doktor anda tentang status G6PD setiap kali berjumpa doktor anda kerana ada beberapa jenis ubat yang mungkin tidak membolehkan anda mengambilnya, TERUTAMA sekali ubat anti-Malaria.

(5) UBAT ANTI-MALARIA
Status G6PD perlu diketahui sebelum anda dibenarkan untuk mengambil ubat anti-malaria. 

Di kebanyakan pusat perubatan awam pada masa kini, ujian saringan pengesahan kekurangan G6PD adalah diwajibkan sebelum seseorang mengambil ubat anti-malaria untuk sebarang aktiviti di kawasan tertentu seperti aktiviti di hutan, jungle tracking dan lain-lain lagi.  

Anda perlu sentiasa berwaspada kerana apabila anda gagal ataupun menipu mengenai status G6PD anda mungkin boleh mengalami komplikasi yang sukar untuk anda kawal dan meredakannya.

Oleh itu adalah penting untuk anda merancang setiap aktiviti yang hendak anda jalani di kawasan hutan. Ianya perlu dimaklumkan ke Pusat Kesihatan selewat-lewatnya 2 minggu sebelum tarikh aktiviti kerana dos pertama ubat anti malaria perlu diambil seminggu sebelum tarikh aktiviti dijalankan, selain bertujuan untuk menjalani ujian G6PD.

Agak menarik bagi mengetahui bahawa kekurangan G6PD terbukti kadang-kala memberikan ketahanan pada parasit penyebab malaria.

Ketahanan ini disebabkan parasit menjangkiti khusus sel darah merah. Bagi sel darah merah orang yang kekurangan G6PD, metabolit penting bagi kemandiran parasit wujud dalam jumlah yang tidak mencukupi. Ini disebabkan pengurangan aktiviti G6PD dalam sel tersebut yang akhirnya mendorong kepada kematian parasit 

(6) AGEN PENYEBAB HEMOLISIS PADA INDIVIDU KEKURANGAN G6PD
Ibubapa kepada bayi atau sesiapa sahaja yang mengalami kekurangan G6PD handaklah memberitahu doktor setiap kali menerima rawatan bagi mengelakkan penggunaan ubatan yang mengandungi agen-agen seperti di atas. Cuba juga elakkan diri daripada memasuki kawasan yang diketahui mempunyai unsur-unsur ubat gegat seperti di tandas awam. Pengidap mungkin akan mengalami sesak nafas jika cukup lama menghidu ubat gegat tersebut. 

Biasanya apabila meningkat dewasa, seseorang yang mengalami kekurangan enzim G6PD kan dibekalkan dengan "rantai perubatan" yang menandakan pemakainya adalah kekurangan G6PD. Ini boleh membantu jika berlakunya kecemasan di mana pemakainya tidak dapat memberitahu sendiri doktor yang merawatnya.

RuzanaIbs.com Copyright © 2015. Design by MaiGraphicDesign