8 November 2014

KENCING MANIS aka DIABETES

Kencing Manis? Mungkin manis namanya, tetapi akibat penyakit ini amatlah pahit. Bak kata bekas penyanyi Headwind "Manis mulut di bibir" sahaja. Memang ada betulnya kata-kata ini. Penyakit ini selalunya berlaku kepada orang yang banyak makan makanan yang manis. Mungkin mereka sangka bahawa badan mereka seperti badan semut tidak pernah mendapat Kencing Manis!

Kencing Manis juga dikenali sebagai Diabetis Mellitus. Ia menyerang pesakitnya tanpa mengira umur, bangsa atau jantina. Penyakit ini menyerang pesakitnya secara serang hendap, iaitu secara perlahan dan memakan masa yang agak lama.

Orang yang mengidap penyakit ini kencingnya mengandungi gula. Malahan terdapat beberapa kes yang pengidapnya hanya menyedari bahawa mereka menghidapinya setelah berlaku satu peristiwa ganjil. Peristiwa itu ialah semut mula mengerumuni air kencing mereka (mitos atau kenyataan?) Apa tidaknya, air kencing mereka manis, maka berebutlah sang semut. Di mana ada gula, di situlah ada semut.

Di dalam badan manusia, gula digunakan untuk menghasilkan tenaga. Gula daripada makanan akan masuk ke dalam darah. Dari dalam darah, gula akan diangkut ke dalam sel dan dipecahkan untuk menghasilkan tenaga. Bagi pengidap penyakit ini, proses pengangkutan gula ke dalam selnya tidak sempurna. Oleh itu gula yang berlebihan akan tinggal terapung di dalam darah. Gula yang berada di dalam darah ini akan keluar melalui air kencing.

Dalam keadaan biasa, paras gula di dalam darah adalah tetap. Walau bagaimanapun, bagi pengidap kencing manis, mereka tidak dapat mengawal paras gula di dalam darah. Kadang-kadang parasnya terlalu tinggi dan kadangkala terlalu rendah. Sebenarnya terdapat sejenis bahan di dalam badan manusia yang mengawal paras gula. Bahan ini bertindak sebagai pengawal yang bertauliah dan berpangkat tinggi. Pengawal ini dikenali sebagai Insulin.

Insulin tidak boleh disimpan lama di dalam badan. Oleh itu Insulin hendaklah sentiasa dihasilkan oleh badan. Insulin juga dihasilkan dalam bentuk yang berlainan dan ada dijual di pasaran. Jenis-jenis ini berbeza dari segi jangkamasa tindakannya dan juga puncanya. Terdapat insulin yang bertindak untuk beberapa hari dan ada yang bertindak selama beberapa jam sahaja. Walau apa pun jenis insulin yang digunakan, hanya doktor sahaja yang dapat menentukan jenis insulin yang sesuai untuk seseorang pesakit. Insulin mestilah disimpan di tempat sejuk yang sesuai dan tidak boleh dibekukan atau dipanaskan.

Pengidap kencing manis akan diberi insulin secara suntikan. Insulin tidak boleh dimakan kerana jika dimakan ia akan dipecahkan oleh bahan yang terdapat di dalam perut. Jika ini berlaku maka insulin akan kehilangan fungsinya. Kalau makan berapa banyak insulin pun, tetap tidak akan mendatangkan apa-apa kesan.

Kencing manis boleh dibahagikan kepada dua jenis.
Jenis pertama - Yang berlaku pada umur yang muda iaitu pada golongan kanak-kanak dan remaja. Kebanyakan pesakit dalam golongan ini tidak mempunyai insulin yang cukup dan mereka bergantung kepada suntikan insulin untuk hidup seperti biasa.

Jenis kedua - Yang berlaku kepada orang dewasa yang mempunyai berat badan yang berlebihan. Bagi pesakit jenis ini, pengawalannya ialah dengan mengawal pemakanan mereka, kerana masih mempunyai sedikit sebanyak insulin dari pankreas. Di dalam keadaan tertentu doktor akan memberi ubat untuk merangsangkan pankreas pesakit supaya menghasilkan lebihbanyak insulin.

Tanda-tanda awal Penyakit Kencing Manis
(1) Kerap membuang air kecil
(2) Berat badan yang menurun
(3) Sentiasa merasa haus
(4) Sentiasa merasa lapar
(5) Letih yang tidak menentu
(6) Pandangan semakin kabur
(7) Mudah mendapat penyakit kulit / vagina
(8) Merasa gatal-gatal pada kaki dan tangan
(9) Merasa penat dan sakit kaki
(10) Tiada keinginan seksual

Tanda-tanda Penyakit Kencing Manis yang Serius
(1) Sentiasa haus
(2) Hilang selera makan
(3) Muntah-muntah
(4) Pengsan / tidak sedarkan diri
(5) Luka lambat sembuh



Cara-cara pesakit menolong diri sendiri
(1) Pesakit hendaklah mengetahui apa yang patut dimakan, jumlah makanan yang hendak dimakan dan waktunya. Oleh itu mereka haruslah tahu tentang nilai dan zat-zat makanan serta merancang waktu makan mereka.

(2) Pesakit hendaklah mengurangkan makanan bergula dan manisan.

(3) Pesakit boleh memakai tanda-tanda di badan mereka seperti gelang atau cincin yang bertulis "saya mengidap kencing manis" supaya memudahkan pihak berkenaan melakukan rawatan ketika kecemasan.

Perkara-perkara yang harus diambil berat oleh pesakit
(1) Sentiasa mengawai makanan dengan teliti mengikut arahan doktor

(2) Seniasa bersenam dan berehat secukupnya

(3) Menghilangkan rasa bimbang dan risau tentang penyakit yang dihidapi

(4) Menjaga kebersihan anggota badan dengan sempurna dan teliti. Ini penting sebab pengidap kencing manis mungkin mempunyai perjalanan darah yang lemah. Oleh itu jika berlaku sesuatu kecederaan atau luka, kawasan luka itu akan menjadi lebih mudah untuk dihinggapi penyakit lain. Juga proses penyembuhan adalah lebih lambat. Keadaan ini boleh menyebabkan sejenis penyakit dikenali sebagai Gangren. Penyakit ini mudah merebak dan menyebabkan anggota badan yang terlibat terpaksa dipotong untuk mengelakkan jangkitan.
GangreneFoot.JPG
Gangren kering
menjangkiti empat jari kaki kanan
seorang penderita diabetes.

Jagaan dan perhatian yang teliti harus diberikan kepada penyakit kencing manis. Diabetes adalah penyakit kronik yang akan kekal seumur hidup. Setakat ini belum ada ubat yang dapat menyembuh penyakit diabetes tetapi penyakit ini boleh dikawal dengan membuat perkara-perkara yang harus diambil berat oleh pesakit seperti yang diterangkan di atas tadi.

Lebih kurang 40% pesakit diabetes mampu mengawal keadaan penyakit mereka dengan menjaga pemakanan dan bersenam. Manakala selebihnya adalah dengan mengambil sama ada ubat (pil) dan/atau suntikan insulin di samping pemakanan yang sihat dan bersenam.

Untuk dapatkan penyelesaian alternatif dari segi supplement, sila KLIK SINI dan SINI.

Lagi info tentang KENCING MANIS di SINI.

TAK MAHU KETINGGALAN INFO?

Name

Email *

Message *

Klik Like jika anda rasa blog ini bermanfaat :) TQ.









Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

RuzanaIbs.com Copyright © 2015. Design by MaiGraphicDesign